KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan sektor hijau ditawarkan menerusi MYFutureJobs Green Job Fair 2024 selama tiga hari bermula 25 hingga 27 April 2024 di Pusat Membeli Belah Avenue K, Kuala Lumpur.

Karnival kerjaya ini dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bersempena Asean Green Job Forum (AGJF) yang menumpukan kepada peluang kerjaya dalam sektor pekerjaan hijau di negara ini.

Dianggarkan 50 majikan menyertai karnival ini termasuk AEON Co. (M) Berhad, RHB Bank Berhad, Rapsol Technology Sdn Bhd, LBS Bina Holdings Sdn Bhd, IHH Healthcare Malaysia (Pantai Medical Centre Sdn Bhd) serta banyak syarikat lagi merentasi pelbagai sektor dan industri dengan tawaran gaji mencecah sehingga RM9,000.

Selain menjadi platform untuk mendapatkan pekerjaan impian, karnival kerjaya ini turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya untuk meningkatkan peluang kejayaan dalam temuduga.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

MYFutureJobs Green Job Fair 2024 yang akan disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong menjadi platform pendedahan pekerjaan hijau serta peluang kepada ramai untuk memahami dengan lebih jelas konsep serta jenis pekerjaan yang dikategorikan sebagai pekerjaan hijau. – MalaysiaGazette