Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan polis bagi menjalankan siasatan berhubung laporan daripada pemilik stesen minyak mendakwa diugut sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada kumpulan terbabit.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara ancaman lain yang diterima pemilik dan pekerja stesen minyak terbabit termasuk sindiket yang mahu membakar stesen minyak dan merosakkan kemudahan yang ada.

Menurut beliau, ia melibatkan stesen minyak sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak turut menerima ancaman sama.

“Mereka perlu membuat laporan secara rasmi kepada KPDN dan tidak perlu bimbang kerana maklumat dirahsiakan. Kes penyeludupan diesel yang berleluasa sebelum ini perlu dikekang, jadi kita perlu mendapatkan maklumat bagi membolehkan siasatan, penguatkuasaan dan tangkapan dilakukan KPDN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan turut mengakui kegiatan penyeludupan dan ketirisan penjualan barangan bersubsidi adalah satu sabotaj terhadap usaha kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, sehingga kini, KPDN dan polis sedang mengumpulkan laporan untuk melakukan siasatan terhadap kes atau sindiket berkenaan dengan ada di antaranya berjaya ditumpaskan. – MalaysiaGazette