KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO), Al-Ishsal Ishak, berkuat kuasa 30 Sept ini.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, peletakan jawatan Al-Ishsal adalah disebabkan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mulai 1 Okt depan.

“Lembaga Pengarah Pos Malaysia akan mencari pengganti sesuai untuk Al-Ishsal dan akan membuat pengumuman yang sewajarnya tidak lama lagi,” katanya.

Al-Ishsal menyertai Pos Malaysia sebagai CEO Kumpulan pada 2 Feb 2018 bagi menggantikan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh yang telah meletak jawatan pada 31 Dis tahun lepas.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan adalah seorang pemegang biasiswa Japan Airlines di Universiti Sophia, Tokyo.

Sebelum memasuki Pos Malaysia, beliau memegang pelbagai jawatan dalam dunia korporat, antaranya, sebagai Ketua Pegawai Digital McCann Ericsson Worldgroup, CEO Baraka Telecom, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Produk Malaysia Airlines Bhd, Ketua Kumpulan Pendapatan Sampingan AirAsia Group Bhd dan kemudian memegang pelbagai jawatan penting dalam Kumpulan Tune.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Urusan ECO Capacity Exchange Ltd (London) Asia Tenggara, serta jurulatih dan perunding kumpulan Airbus.

Al-Ishsal juga pernah berkhidmat di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan merupakan bekas anggota Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan