Gelagat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Dialog Anak Muda dan Pelancaran Buku ‘A People’s History Of Malaysia’ di Corus Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Datuk Dr Mazlan Ismail, yang mengaitkan Anwar terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman, selesai selepas bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh itu memohon maaf kepada Ketua Umum PKR berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Mazlan, yang membacakan kenyataan maaf itu secara terbuka di kandang saksi berkata beliau memohon maaf kepada Anwar, selaku plaintif dalam kes saman itu dan memberi jaminan tidak akan menyiarkan laporan sama atau yang seumpamanya berkaitan plaintif.

Mazlan berkata beliau turut mengakui dan sedar bahawa kenyataannya yang ditayangkan oleh TV3 serta laporan diterbitkan Utusan Melayu, disebabkan sidang media yang diadakan di rumahnya pada 2 Ogos 2013.

Katanya, dalam sidang media itu, beliau telah merujuk kepada sekeping surat yang diterima bersama dengan beberapa salinan surat sama.

“Surat berkenaan dikatakan mengandungi butiran yang mendakwa bahawa plaintif (Anwar) telah membuat pembayaran sebanyak RM50 juta kepada firma guaman Karpal Singh & Co dengan tujuan menyogok atau merasuah barisan hakim dan pihak pendakwaan sejak tahun 2008.

“Saya dengan ini mengesahkan bahawa saya telah menjalankan sidang akhbar berkenaan laporan itu tanpa menjalankan sebarang verifikasi atau usul periksa. Saya juga mengesahkan bahawa saya telah menyebarkan laporan itu kepada pihak media yang hadir pada sidang media itu tanpa sebarang asas yang kukuh,” katanya yang tenang ketika membacakan teks permohonan maaf itu.

Mazlan juga berkata beliau sedar bahawa laporan itu telah ditayangkan dalam Buletin Utama jam 8 malam, yang tidak disemak olehnya dan telah mendapat liputan yang amat luas kalangan penonton Malaysia.

“Saya juga sedar bahawa sebarang tohmahan kegiatan rasuah terhadap badan kehakiman dan mana-mana pihak lain, adalah perkara serius yang mana sepatutnya disahkan terlebih dahulu oleh saya.

“Saya rasa dukacita dan amat kesal atas tindakan saya yang melulu. Saya juga akui bahawa laporan itu telah mendatangkan kesan negatif serta menjejaskan reputasi plaintif serta pihak-pihak lain yang disebutkan dalam laporan berkenaan,” katanya yang turut memaklumkan bahawa beliau menarik balik kenyataan itu terhadap plaintif tanpa sebarang syarat.

Sebaik sahaja Mazlan selesai membacakan kenyataan maaf itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak terlibat.

Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar memaklumkan kepada mahkamah bahawa defendan pertama iaitu Mazlan bersetuju untuk membacakan kenyataan maaf dan memohon supaya mahkamah merekodkan penyelesaian penghakiman persetujuan antara mereka.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan berkata anak guamnya bersetuju untuk membacakan permohonan maaf itu dan meminta supaya kenyataan itu dibacakan di kandang saksi.

Sementara itu, penghakiman persetujuan membabitkan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Utusan Melayu (M) Bhd (UMMB) dengan Anwar akan direkodkan oleh mahkamah pada 12 Okt depan berikutan kedua-dua pihak masih mengemaskini terma-terma persetujuan bagi penyelesaian kes berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Utusan Melayu kepada pemberita yang hadir pada prosiding kes itu hari ini di dalam kamar pesuruhjaya kehakiman berkenaan. Turut hadir peguam Lim Qi Si, bertindak bagi pihak TV3.

Anwar memfailkan saman itu pada 15 Okt 2015 selepas mendakwa ketiga-tiga defendan telah mengaitkan beliau dengan rasuah membabitkan hakim dan pendakwa raya.

Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Mazlan telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu sidang media dan menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah itu menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan menyebabkan perkataan fitnah tersebut diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Anwar mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar, ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau berasa lega kerana hampir lima tahun akhirnya kes itu dapat diselesaikan.

“Kes ini akhirnya selesai dengan permohonan maaf oleh defendan (Mazlan) dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu semasa di dalam mahkamah sebelum prosiding kes itu bermula, kelihatan Anwar menyapa Mazlan dan mereka bersalaman antara satu sama lain.

— BERNAMA