Boo Cheng Hau
JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau percaya penyingkirannya daripada Jawatan Tertinggi Pusat DAP dalam pemilihan baru-baru ini disebabkan bantahannya terhadap parti itu yang menyerahkan pencaturan pilihan raya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM).
Penyerahan pencaturan pilihan raya kepada PBBM, menurut Cheng Hau, adalah bertujuan mengelakkan kehilangan sokongan pengundi Melayu.
Cheng Hau berkata, beliau bertegas bahawa pencaturan dan strategi parti untuk pilihan raya harus dilakukan secara bersama oleh DAP, PKR dan Amanah, bukannya diterajui oleh PBBM.
Katanya, laluan yang diberikan kepada PBBM boleh menyebabkan Pakatan Harapan dilihat sebagai perikatan yang konservatif dan berhaluan kanan.
Beliau berkata, kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ‘lanun Bugis’ merupakan legasi perkauman yang diwarisinya daripada UMNO.
Cheng Hau berkata, tindakannya yang membangkitkan kebimbangan mengenai PBBM telah dimanipulasi oleh sesetengah pihak yang mendakwanya mengeluarkan kenyataan yang merosakkan parti.
Ujarnya lagi, terdapat pihak yang mendakwanya sebagai sukar untuk bergaulan dengan orang lain.
“Dakwaan sedemikian adalah tidak adil buat saya, saya tidak merosakkan parti dengan melontarkan pandangan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Cheng Hau berkata, kemerosotan kehadiran ahli dalam pemilihan semula iaitu pada kadar 54 peratus berbanding 70 peratus pada 2012 menunjukkan terdapat akar umbi yang tidak berpuas hati.
Pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang bagaimanapun berpendapat kehadiran pada kadar 52 peratus adalah cukup baik- MalaysiaGazette

Comments are closed.