Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan melawat fasiliti rel milik Prasarana Malaysia Bhd. pagi tadi Gambar ihsan Prasarana

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melawat fasiliti rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang.

Turut berangkat hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Ketibaan baginda berdua di Stesen LRT Glenmarie, Shah Alam pada kira-kira 10 pagi disambut oleh Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

Pengangkutan rel Prasarana itu merangkumi perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan Monorel.

Baginda berdua turut berkenan menaiki LRT menuju ke KL Sentral di sini sebelum bertukar ke perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang di Stesen MRT Muzium Negara untuk meninjau suasana di stesen tersebut.

Baginda berdua kemudian berkenan berangkat menaiki MRT ke stesen MRT Stadium Kajang untuk santapan tengah hari di Restoran Sate Kajang Haji Samuri.

Selepas itu, baginda berdua berkenan berangkat ke Stesen MRT Merdeka untuk melakukan tinjauan di stesen berkenaan termasuk bergambar di ukiran Rukunegara sebelum ke stesen Monorel Bukit Nanas. – Bernama