Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tiga dari kanan) bergambar bersama wakil LaLiga selepas menandatangani MoU antara FMLLP dengan liga itu di Hotel Thistle di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menandatangani perjanjian persefahaman dengan La Liga untuk bekerjasama dalam penjenamaan masing-masing.

Majlis perjanjian persefahaman itu disempurnakan Pengerusi FMLLP, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengarah Pembangunan Antarabangsa LaLiga di sini hari ini.

Menerusi kerjasama selama tiga tahun itu bakal menyaksikan La Liga dan FMLLP bekerjasama untuk membangunkan blueprint 50 tahun bagi Liga Malaysia.

Selain itu, kedua-dua pihak juga akan menganjurkan seminar dan bengkel oleh pakar dengan memfokuskan kepada pengurusan sukan, pemasaran, pengurusan kewangan, keselamatan stadium, pembangunan sosial serta projek komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat.

Melalui perjanjian persefahaman itu juga, LaLiga akan memudahcara kepada pemain di LaLiga untuk bermain di Malaysia serta berusaha mengatur perlawanan di antara pasukan di LaLiga di Malaysia semasa pra musim.

Selain itu, kedua-dua pihak akan memastikan usaha terbaik untuk mencapai integrasi pemain Malaysia di Sepanyol dan sebaliknya. – MalaysiaGazette