Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden Alumni Fakulti Undang-undang UM, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Portal Kehakiman Undang-undang Malaysia (Asean LIP) 2018 di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2018.

PETALING JAYA – Selepas menafikan akan bertanding di Bandar Tun Razak, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kini mengakui lebih selesa menggerakkan jentera sayap parti itu untuk PRU-14 atas kapasiti sebagai Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).

Sama ada dicalonkan atau tidak, ia bukan lagi keutamaan kepadanya dan hanya menumpukan tugasnya sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

“Selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO, saya faham sudah semestinya Presiden UMNO berhajat untuk saya diberi tempat, itu satu lumrah dan saya faham.

“Kepada saya, yang amat mustahak sekarang adalah untuk saya beri tumpuan 100 peratus kepada persediaan jentera wanita, fokus bukan kepada saya sebagai calon tetapi mengetuai jentera wanita untuk kita hadapi PRU-14,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri perasmian Portal Penghakiman Undang-undang Malaysia di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya hari ini.

Jelas Shahrizat, sekiranya beliau terus mengepalai jentera Wanita BN dalam menghadapi Pakatan Harapan (PH) dan Pas maka beliau boleh fokus kepada pergerakan jentera bagi memenangkan BN pada 9 Mei depan.

“Saya kena tentukan keutamaan jadi saya ambil keputusan untuk menentukan jentera wanita BN bersedia untuk hadapi PRU.

“Dalam kedua-dua keutamaan itu, saya pilih bahawa ini amat mustahak selaku ketua jentera saya boleh sumbang secara bermakna apabila saya beri tumpuan sepenuhnya.

“Sama ada Sungai Besar dan Bandar Tun Razak, itu menjadi lumrah. Saya nak beri tumpuan kepada pemantapan jentera BN menghadapi PRU-14,” katanya lagi.

Awal hari ini, bekas menteri kabinet itu menafikan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU-14.

Menerusi kenyataannya di Facebook hari ini, Shahrizat berkata, beliau tidak bertanding di situ meskipun yakin kawasan tersebut boleh dimenangi oleh BN. -MalaysiaGazette

Shahrizat nafi bertanding di Bandar Tun Razak