Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berkuasa untuk mengawal tambang bas sekolah selepas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tahun lalu memutuskan bahawa bayaran berkenaan ditentukan oleh pasaran.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) Amali Munif Rahmat bagaimanapun menasihatkan pemandu supaya tidak menaikkan tambang pada kadar yang terlalu besar.

“Pemandu bas sekolah melayan ibu bapa seperti pelanggan lama, kami tidak akan menaikkan tambang jika keadaan mengizinkan.

“Ibu bapa akan mempersoalkan kami walaupun harga hanya dinaikkan sedikit, kami juga perlu memberi penjelasan kepada mereka,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi bahawa pemandu bas sekolah tidak boleh menaikkan tambang secara sembarangan.

Pemandu bas sekolah juga berdepan risiko dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatatutan 2011.

Mengulas lanjut, Amali berkata, kenaikan harga dan pergolakan ringgit telah memberi tempias kepada pemandu bas sekolah.

Katanya, alat ganti kenderaan yang penting telah menjadi lebih mahal dan memaksa pemandu bas sekolah menaikkan tambang bagi menghadapi kos operasi yang meningkat.

Menurutnya lagi, pemandu bas sekolah juga berdepan masalah mata pencarian pada musim cuti sekolah.