Barisan kepemimpinan pakatan pembangkang tanpa Pas. - Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan memulakan rundingan mengenai pengagihan kerusi pilihan raya pada Januari tahun depan tanpa penyertaan daripada Pas.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata, walaupun partinya bersikap terbuka dan sedia berunding, tetapi Pas telah menutup pintunya dan memutuskan ruang untuk perbincangan.

Mengenai perundingan yang akan mengambil tempat pada Januari antara parti-parti pembangkang, Salahuddin berkata, ia merangkumi manisfesto pembangkang dan soal pengagihan kerusi.

“Saya tidak melihat kerjasama empat parti sebagai satu cabaran, kami pernah melaluinya pada zaman Pakatan Rakyat.

“Kami ada pengalaman untuk menghadapinya di mana masalah akan dibincangkan secara terbuka dan kami serius dalam soal pengagihan kerusi,” katanya kepada China Press.

Naib Presiden DAP, Teresa Kok juga optimis dengan perundingan yang akan dijalankan antara empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, PPBM dan Amanah.

“Pengagihan kerusi boleh dirundingkan, soalnya PPBM dan PKR harus melobi Pas supaya kami boleh berdepan Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu.

“Pas pada masa ini masih bermain politik sehingga menghalang perundingan mengenai pengagihan kerusi,” katanya.

Comments are closed.