KUALA LUMPUR – Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor hari ini akan meletak jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Maybank pada 31 Mac 2017, selepas 12 tahun menduduki kerusi Lembaga berkenaan, termasuk tujuh setengah tahun sebagai Pengerusi.

Datuk Mohaiyani Shamsudin, yang telah menduduki kerusi Lembaga Pengarah sejak Ogos 2011 akan menggantikan beliau sebagai Pengerusi Maybank.

Dengan pelantikan ini, Mohaiyani akan menjadi wanita pertama dilantik sebagai pengerusi syarikat terbitan awam terbesar di Papan Utama di Malaysia.

Ketika ini, Mohaiyani merupakan Pengerusi Maybank Investment Bank Berhad, jawatan yang dipegangnya sejak Mac 2016.

“Adalah satu penghormatan dan keistimewaan buat saya kerana dapat berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Maybank – khususnya sebagai Pengerusi sejak 2009, di mana Kumpulan telah mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi kewangan utama di rantau ini.

“Saya yakin Kumpulan akan terus mewujudkan nilai pada masa akan datang, terutamanya dalam landskap operasi yang pantas berubah di mana perkhidmatan yang berbeza dan inovasi akan menjadi pemacu utama kejayaan.

“Saya meninggalkan Maybank dengan hati yang lapang kerana kumpulan kini mempunyai keupayaan yang lebih kuat untuk mencapai wawasannya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan dan kakitangan di atas sokongan padu dan komitmen yang diberikan untuk mengukuhkan jenama dan reputasi Maybank, serta mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat senarai awam utama Malaysia,” kata Megat Zaharuddin.

Megat Zaharuddin dilantik sebagai Pengarah dan Pengerusi Maybank pada 1 Oktober 2009. Beliau sebelum itu merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Maybank dari Julai 2004 to hingga Februari 2009.

Mohaiyani dilantik sebagai Pengarah Maybank pada 22 Ogos 2011. Beliau juga berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Lembaga Pengarah bagi Jawatankuasa Semakan Kredit dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Beliau pernah berkidmat di Amanah Chase Merchant Bank Berhad dan Seagrott & Campbell Sdn Bhd sebelum membuka syarikat pembrokeran saham sendiri Mohaiyani Securities Sdn Bhd pada 1985 dan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.

Ketika aktif terlibat dalam industri pembrokeran, beliau telah dilantik sebagai Penolong Pengerusi Kuala Lumpur Stock Exchange (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia Bhd) dan Pengerusi Persatuan Syarikat-syarikat Pembrokeran Saham Malaysia. Beliau juga telah dilantik sebagai ahli bagi beberapa kumpulan kerja peringkat tinggi kebangsaan seperti Majlis Tindakan Ekonomi Nasional (NEAC), Majlis Konsultatif Ekonomi Nasional II (MAPENII), Majlis Teknologi Maklumat Nasional (NITC), Jawatankuasa Majlis Kewangan Peringkat Tinggi Kementerian Kewangan bagi Majlis Penasihat Tadbir Urus Korporat dan Penasihat Nasional untuk Wanita di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti. – MalaysiaGazette