Janet Yellen. foto Agensi

NEW YORK – Rizab Persekutuan menaikkan penanda aras kadar faedah sebanyak 0.25 peratus kepada 0.75 peratus hingga 1.0 peratus. Ia adalah kenaikan kali ketiga dalam tempoh sedekad.

Kenaikan ini memang sudah dijangkakan selepas Amerika Syarikat merekodkan laporan pekerjaan yang memberangsangkan, kenaikan gaji dan inflasi.

Malah, kadar pengangguran juga rendah kepada 4.7 peratus.

Rizab Persekutuan dijangka akan menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali pada tahun ini berikutan sasaran untuk mengekalkan kos pinjaman antara bank dalam band tertentu dengan membeli atau menjual aset-aset kewangan.

Peningkatan band dengan suku peratus.

Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen berkata, kenaikan itu adalah sederhana pada kadar munasabah dalam keadaan ekonomi yang memberangsangkan.

“Walaupun selepas kenaikan ini, polisi monetari kekal akomodatif, selain menyokong pengukuhan pasaran pekerjaan dan mengekalkan pulangan ke atas inflasi sebanyak 2.0 peratus,” katanya.

Keputusan kenaikan itu diluluskan dengan undi 9-1.

Kenaikan kadar faedah kali ini adalah kali kedua dalam tempoh tiga bulan, sekali gus memberi isyarat kenaikan seterusnya secara berperingkat pada tahun ini.

Indeks-indeks Wall Street melonjak selepas pengumuman itu dengan Dow Jones Industrial Average nail 112 mata kepada 20,950 pada dagangan petang.

Dolar susut sebanyak 0.9 peratus berbanding euro dan lebih 1.0 peratus berbanding pound. – MalaysiaGazette