Shafie Ngah

KUALA LUMPUR – Seorang wakil rakyat Pas tidak berpuas hati dengan kerja menaik taraf Jalan Reko-UKM-Simpang Jenderam oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Shafie Ngah menyuarakan kekecewaan itu berikutan projek jalan berkenaan yang hanya melibatkan jarak 5.5 kilometer mengambil masa lama untuk dimulakan menyebabkan berlaku gangguan trafik yang teruk.

Beliau berkata, jalan itu menjadi laluan utama penduduk Kajang, Semenyih dan Bangi Lama berulang alik ke UKM dan bandar Bangi.

“Saya sangat kecewa dengan kerja menaik taraf jalan ini yang dikawal selia oleh JKR Selangor.

“Projek jalan yang hanya sepanjang 5.5 kilometer sahaja ini mengambil masa begitu lama sehingga menimbulkan gangguan trafik yang teruk kepada pengguna.

“Sudahlah ini jalan utama dari Kajang ke UKM dan ke Pekan Bangi, ditambah lagi dengan kepesatan penduduk yang tinggi di sekitarnya menjadikan laluan ini sangat sesak,” katanya dalam kenyataan kepada media sini, semalam.

Kata beliau, keadaan menjadi lebih kritikal terutama pada waktu malam kerana tiada lampu jalan, banyak penghadang dan lencongan serta jalan berlekuk.

Menurut Shafie, beliau difaham sudah enam notis kegagalan telah diberikan kepada kontraktor berkenaan, tetapi tindakan penambahbaikan atau mempercepatkan kerja tidak  berlaku.

“Bayangkan betapa seksanya penduduk yang juga pengguna jalan raya menghadapi masalah ini saban hari sejak tahun 2013 lagi.

“Sekiranya alasan masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti yang menyebabkan kelewatan, semua masalah tersebut telah selesai,” ujar beliau.

Justeru, beliau merayu dan mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terbabit termasuk menamatkan kontrak dan menyenaraihitamkannya.

“Penduduk dan pengguna jalan raya ini sudah tidak sabar lagi dengan keadaan jalan yang teruk. Keadaan ini juga benar-benar mencemarkan nama baik kerajaan negeri yang sangat peduli rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette