Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2016 SWCorp di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2017.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini mengumumkan akan melakukan inventori terhadap pengurusan sisa-sisa pepejal bagi mengurangkan kos pengurusan dan pengendalian sampah berjumlah RM1.9 bilion.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dibawah kementerian akan menjalankan inventori membabitkan pasar, rumput, longkang dan tepi jalan.

“Kita sedar RM1.9 bilion adalah satu peruntukan yang besar, dan sebab itu SWCorp mulai tahun 2015 telah melakukan proses inventori, antaranya mengurangkan aktiviti pembersihan di tempat yang tidak perlu seperti longkang-longkang di kawasan bercerun.

“Ketika ini pembersihan longkang di kawasan menuruni bukit dilakukan dalam frekuensi yang sama seperti di tempat mendatar, sedangkan kecerunan itu secara semula jadi telah membantu pengaliran air,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 86 warga SWCorp hari ini.

Bagi mengurangkan perbelanjaan melibatkan SWCorp, inventori itu melibatkan kawasan seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang ditandatangani.

Buat masa ini, SWCorp terlibat dalam dua aktiviti utama iaitu kutipan sampah atau sisa
pepejal dan pembersihan awam, yang mana 60 peratus daripada keseluruhan RM1.9 bilion yang diperuntukkan digunakan untuk kerja pembersihan awam.

Inventori itu akan memberi tumpuan kepada inventori pembersihan awam kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai inventori yang lengkap dan masih menggunakan kaedah konvensional dalam melaksanakan kerja pembersihan. -MalaysiaGazette.