Mat Nadzari Ahmad Dahlan

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mengulangi pendiriannya akan hadir pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor esok.

“Saya tidak diberitahu digantung atau dikenakan apa-apa tindakan. Saya hanya dimaklumkan keputusan itu akan diputuskan pada sesi sidang bermula hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian DUN Selangor oleh Sultan Selangor hari ini.

Mat Nadzari pada sidang DUN Selangor yang lepas memohon penjelasan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai berbezaan sistem raja berpelembagaan dan parlimen berpelembagaan.

Beliau kemudiannya disiasat di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Selangor dan pengerusinya, Hannah Yeoh memutuskan tindakan kepadanya ditentukan pada sidang DUN kali ini.

Bagaimanapun, pada 6 Mac lalu, Mat Nadzari telah memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Selangor berhubung hukuman yang dikenakan ke atasnya itu.

Dalam fail pemula itu, beliau mahu pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi mengenai dakwaan ke atasnya melanggar Peraturan Tetap 36 (10) di DUN Selangor pada sesi persidangan DUN Selangor pada 1 November lalu.

Sementara itu, beberapa ADUN BN yang ditemui memberi jawapan senada iaitu ucapan Mat Nadzari itu tidak melanggar atau bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap (Standing Order) 36(6) Dewan Negeri Selangor. – MalaysiaGazette