Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman membayangkan tiada lagi hubungan baik dengan bekas suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin pada masa akan datang.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, 46, bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana pengesahan cerai dengan suami ketiganya dipermudahkan Tuhan.

Beliau ketika dihubungi turut berasa lega kerana kemelut rumahtangganya akhirnya selesai secara baik tanpa berlarutan panjang.

“Tak ada nak kawan-kawan lagi lepas ini. Apa pun saya bersyukur kerana ia selesai secara baik dan dipermudahkan Tuhan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada hubungannya dengan Fairuz akan diteruskan sebagai kawan baik pada masa akan datang

Vida dan suami sah bercerai di Mahkamah Syariah Ipoh pagi ini. Penceraian mereka difailkan baru-baru ini di mahkamah yang sama.

Ditanya mengenai punca perpisahan mereka, Vida hanya menjawab ringkas jodohnya dengan bekas suami tidak panjang dan perpisahan itu sangat terkesan baginya.

Vida bernikah dengan Fairuz, 39, pada Januari 2014, yang juga perkahwinan ketiga ahli pernigaan itu. – MalaysiaGazette