PULAU PINANG – Pas negeri ini mendesak akhbar Nanyang Siang Pau lebih berhati-hati dalam laporan mereka dan mengelak sebarang penerbitan yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Pesuruhjayanya, Mohd. Fauzi Yusoff berkata, penyiaran karikatur yang mempersenda Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam akhbar berkenaan semalam tidak sewajarnya berulang pada masa depan.

Menurut beliau, sebagai medium menyampaikan maklumat kepada pembaca, akhbar sepatutnya perlu lebih bertanggungjawab dan tidak mensensasikan sesuatu isu apatah lagi berkaitan agama dan kaum semata-mata bertujuan melariskan jualan.

“Kita berharap media mengambil pengajaran kerana sebelum ini pernah berlaku bantahan besar-besaran oleh umat Islam di seluruh dunia selepas akhbar Perancis menyiarkan karikatur yang menyinggung sensitiviti umat Islam dan kita tidak mahu perkara itu berulang di negara ini

“Apatah lagi Abdul Hadi juga merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan sekiranya karikatur ini tersebar, sudah tentu akan mendatangkan kemarahan umat Islam seluruh dunia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas berkunjung ke ibu pejabat akhbar, Nanyang Siang Pau, cawangan utara dan bertemu pengurusan akhbar berkenaan di Pangkalan Weld di sini hari ini.

Menurut Fauzi, dalam pertemuan itu, beliau turut melahirkan bantahan ahli Pas akar umbi khususnya di negeri ini berhubung karikatur yang disiarkan akhbar berkenaan semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, Pas negeri menerima penjelasan daripada editor akhbar berkenaan yang mana cawangan ini tidak terlibat dengan penyiaran karikatur itu, sekali gus tidak berhasrat memanjangkan perkara tersebut sehingga membuat laporan polis.

Malah, ujarnya, editor akhbar berkenaan juga memberi jaminan akan menjaga keharmonian masyarakat dengan tidak melaporkan berita atau ulasan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum pada masa depan.

Akhbar Nanyang Siang Pau semalam mencetuskan kemarahan ahli-ahli Pas dan umat Islam selepas menyiarkan karikatur monyet bersongkok yang dilabelkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia manakala seekor lagi memakai serban yang dilabel Abdul Hadi di atas pokok Akta 355.

Penyiaran karikatur berkenaan didakwa mempersenda Ahli Parlimen Marang itu selepas membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 di Dewan Rakyat minggu lalu. – MalaysiaGazette

Comments are closed.