Abdul Hadi Awang

ALOR SETAR – Parti-parti politik yang menentang penyebaran syiar Islam oleh Pas merupakan ancaman kepada keharmonian hidup dan kebebasan beragama dalam negara ini.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau kesal dengan tindakan sekumpulan parti politik yang mahu dilihat sebagai parti yang paling kuat menentang penyebaran syiar Islam.

“Apa yang kita kesalkan ialah, ada juga di kalangan parti politik yang berlumba-lumba untuk menjadi penentang agenda untuk meninggikan syiar Islam di kalangan rakyat beragama Islam dalam negara kita ini.

“Mereka saling cabar-mencabar, siapa yang lebih dahulu dan paling kuat menentang syiar Islam, seolahnya menjadi kebanggan baharu di zaman ini.

“Tindakan sebegini sekiranya berterusan, adalah ancaman terbesar kepada keharmonian dan kebebasan hidup beragama yang dinikmati di Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Dalam ucapan perasmiannya pada Muktamar Pas ke-58 di Alor Setar hari ini, tindakan untuk membantutkan penyebaran SyiarIslam itu juga seolah-olah menjadi kebanggaan kepada kumpulan itu.

Meskipun tidak menyatakan secara khusus nama mana-mana parti politik yang dimaksudkan, DAP dan PAN merupakan parti-parti yang dimaksudkan oleh Hadi. – MalaysiaGazette