Pengarah Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017, Datuk Mohd Yusof Din (kiri) menyerahkan resolusi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Penutupan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 "Fiqh Wala' dan Taat : Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara" pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). foto HAZROL ZAINAL, 04 MEI 2017.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak pernah meninggalkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) keseorangan dalam menghadapi ranjau dan fitnah politik.

Timbalan Perdana Menteri sentiasa menghayati dan menghadamkan apa yang disebut oleh Najib berkaitan wala’ dan taat.

“Ini bukan taat setia yang membabi buta. Saya sentiasa menghayatinya dan saya tak pernah tinggal PM keseorangan,” katanya ketika berucap merasmi penutup Seminar Institut Wasatiyyah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Md. Zin.

Jelas Ahmad Zahid, Najib banyak berdepan dengan fitnah politik dan sebagainya malah beliau selaku orang nombor dua turut terkena tempiasnya.

“Saya amat bersetuju bahawa soal wala’ dan taat ini bukanlah didasari dengan ego peribadi tetapi lebih kepada nawaitu, iltizam dan komitmen kita untuk melakukan yang terbaik buat negara dan umat secara keseluruhannya.

“Saya juga amat bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa iktikad Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang menjadi falsafah tunjang guiding principles kita sebagai umat Islam juga mempunyai disiplin yang sangat ketat dalam memperkatakan soal wala’ dan ketaatan kepada ulil amri secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, gambaran umum yang diberikan kepada pimpinan di Malaysia adalah buruk dan negatif kerana politik sudah menjadi medan berkonspirasi.

Katanya, politik hari ini menjadi medan fitnah dan caci maki serta politik tidak lagi menjadi ruang muafakat, tetapi jalan memenuhi nafsu serakah kuasa dan kedudukan. – MalaysiaGazette