Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Syura Ulamak Pas menamatkan kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan satu langkah tepat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pas kini menyedari perjuangan parti Islam itu jauh berbeza dengan parti pembangkang lain.

“Saya ucapkan tahniah kepada Pas kerana sedar akhirnya perjuangan parti mereka jauh berbeza daripada PKR , DAP dan Amanah.

“”Saya percaya Pas buat keputusan yang tepat untuk memutuskan hubungan dengan PKR, dan parti -parti lain seperti DAP yang dulu pun sudah diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun Umno ke-71 di Stadium Negara Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas siang tadi yang memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR selepas mengambil kira tindakan dan pendirian parti itu yang tidak selari dengan Pas sejak dua tahun lalu.

Terdahulu usul memutuskan kerjasama itu diluluskan tanpa bahas Muktamar Pas ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah April lalu.

Keputusan untuk keluar daripada gabungan pembangkang itu merupakan tindakan kali kedua selepas Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat.

Ini kerana kebiadaban DAP menentang Rang Undang-Undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355. – MalaysiaGazette