Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar (kiri) diiringi Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Mejar Jeneral (B) Azmy Yahya (dua kiri) menyerahkan warkah lantikan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat kepada Ketua Setiuasaha Kementerian Sumber Asli, Datuk Seri Azizan Ahmad (dua kanan) pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Watikah Lantikan Kehormat & Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam di Wisma Sumber Asli, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 22 MEI 2017

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini menerima khidmat sejumlah 3,267 Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dalam memastikan tugas penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan berkesan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerahan itu bagi membantu pihak kementerian melaksanakan kerjasama strategik antara APM dengan pelbagai agensi kerajaan.

“Setiap agensi itu mempunyai rintangan kekurangan kakitangan penguatkuasaan, oleh yang demikian kita juga punya kelemahan yang menyerlah dalam bidang undang-undang.

“Aktiviti pencurian balak, dan hidupan liar ini, malah pencerobohan ke dalam hutan simpan kekal takkan mampu anggota kita untuk melaksanakan semuanya. Jadi ini perkara yang jadi satu rintangan besar kepada kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan kolaborasi penguatkuasaan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kementeriannya hari ini.

Jumlah anggota APM itu, katanya, akan diagihkan ke beberapa agensi iaitu Jabatan Air dan Saliran, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar, Taman Negara, Jabatan Taman Laut Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains.

Kerjasama​ antara Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan APM ini membuktikan pihak kementerian mengambil serius sistem pelaksanaan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan terutamanya dalam isu-isu​ yang melibatkan sumber asli dan alam sekitar.

Malah kata Wan Junaidi, kerjasama ini akan dapat mengatasi masalah kekurangan pegawai penguatkuasa dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan.

Kekangan ini bukan sahaja mengakibatkan beban tugas yang tinggi dan perlu dihadapi pegawai penguatkuasa sedia ada bahkan sering menimbulkan persepsi negatif orang awam berkenaan kekurangan aspek penguatkuasaan yang menyebabkan berlakunya pelanggaran undang-undang berkaitan alam sekitar secara berleluasa, katanya.

“Keluasan negara kita yang begitu luas dan mempunyai pintu masuk yang banyak, payah untuk kementerian pantau semuanya. Jadi semua ini perlu penguatkuasaan, kalau kita punya 5,000 kilang yang lalukan pencemaran, bagaimana anggota kementerian nak lihat dan pantau 24 jam setiap kilang-kilang​ ini supaya tidak membuat pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang sudi membekalkan khidmat APM kepada kementeriannya dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang berhubung sumber asli dan alam sekitar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenal pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang merupakan satu pendekatan kreatif yang digunakan melibatkan beberapa Kementerian.

Katana, idea disebalik strategi ini adalah untuk memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. -MalaysiaGazette.