Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani mempertahankan langkah kerajaan mewujudkan kerjasama strategik antara Proton-Geely.

Menteri Kewangan II itu menegaskan, kerjasama itu dilaksanakan kerana kerajaan tidak mahu syarikat kereta nasional itu sama nasib dengan Perwaja Steel (Perwaja).

Bercakap dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar arus perdana Johari berkata, kerajaan cuba membangunkan industri besi dan keluli menerusi Perwaja tetapi akhirnya syarikat itu ditutup disebabkan masalah pengurusan pada tahun 1990-an.

“Banyak kerajaan tolong tetapi akhirnya Perwaja ditutup. Ramai pekerja Perwaja kena berhenti dan kilang sudah tidak beroperasi.

“Takkan kita hendak buat Proton begitu. Saya hendak tekankan kita tidak mahu nasib Proton jadi macam Perwaja,” katanya menerusi wawancara itu.

Ujarnya, beliau faham bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sangat kecewa dengan keputusan kerajaan itu tetapi, apa yang penting Geely adalah rakan strategik yang diharap boleh memajukan Proton.

“Bagi saya semua pihak kena sokong kerjasama ini kerana Geely telah menyelamatkan Proton daripada menjadi seperti Perwaja.

“Kalau Proton sudah jadi Perwaja dan berlaku kehilangan pekerjaan, kita lagi susah,” ujarnya.

Rabu lalu, DRB-Hicom mencapai persetujuan untuk menjual 49.9% pegangan dalam Proton kepada pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51% dalam pembuat kereta Britain, Lotus.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, langkah menjual kepentingan kepada syarikat kereta China menandakan kehilangan ikon negara. – MalaysiaGazette