KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang PKR, R Sivarasa disifatkan sebagai seorang yang cetek ilmu pengetahuan berkaitan sensitiviti kaum meskipun dirinya seorang peguam.

Ketua Pusat Khidmat MCA kawasan Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, ahli Parlimen pembangkang itu sepatutnya lebih jelas dalam hal berkaitan agama kerana beliau adalah pemimpin di dalam sebuah parti politik dan mempunyai latar belakang uandang-undang.

Menurutnya, tindakan Sivarasa yang memasuki masjid untuk memberikan ceramah politik atau sebagainya hingga menimbulkan kemurkaan kepada Sultan Selangor merupakan satu langkah tidak wajar dan biadap.

“Saya pernah menyampaikan sumbangan di surau dan juga masjid ketika menjadi wakil rakyat dahulu. Tetapi saya tidak pernah menggunakan kesempatan itu untuk berpolitik.

“Saya hanya sampaikan sumbangan itu di luar tempat ibadah berkenaan kepada pengerusi masjid atau surau dan mereka menjalankan tugasnya selepas itu,” kata veteran MCA itu ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Pian Hon berkata, Sivarasa sepatutnya membuat persediaan lebih awal untuk menjadi seorang wakil rakyat dengan mempelajari banyak perkara termasuk mengkaji berkenaan sensitiviti kaum dan budaya serta agama masyarakat yang diwakilinya.

“Untuk menjadi seorang pemimpin, individu itu kena belajar banyak perkara, lebih-lebih lagi hal-hal yang berkaitan agama kerana itu amat penting,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, jika hendak menyampaikan sumbangan sekalipun ia boleh dilakukan di luar masjid dan tidak perlu diadakan ucapan kerana ia hanya akan menimbulkan syak wasangka.

Justeru, beliau menyarankan kepada Sivarasa supaya memohon ampun kepada Sultan Selangor dan yang lebih penting kepada umat Islam di negara ini secara terbuka.

Katanya, kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama dilakukan oleh pemimpin bukan Islam parti pembangkang malah, ia pernah dilakukan pemimpin daripada parti DAP.

Semalam, dalam satu majlis berbuka puasa di Glenmarie Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya murka dengan tindakan Sivarasa yang memasuki Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang pada Rabu lepas.

Sultan Selangor bertitah, tindakan Sivarasa itu sudah melampaui batas kerana baginda sudah berkali-kali melarang mana-mana ahli politik daripada berucap di dalam masjid bagi mengelak perpecahan dikalangan umat Islam.

Tindakan Sivarasa itu dianggap sudah melampaui batas dan baginda telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat perkara itu dengan terperinci dan mengambil tindakan selanjutnya selepas Ramadhan jika berlaku pelanggaran peraturan sedia ada. – MalaysiaGazette