Kaki Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi,

KUALA LUMPUR – Laporan bedah siasat terhadap kaki pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi yang meninggal dunia April lalu akan diketahui dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, tempoh itu diambil adalah kerana Hospital Sultan Ismail sedang melakukan siasatan kedua terhadap kes berkenaan selepas meneliti laporan bedah siasat kaki pelajar malang itu.

Mohamad Thaqif Amin, 11, yang kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman ekoran kesan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz berkenaan meninggal dunia pada 26 April lalu.

Pelajar berkenaan dimasukkan ke hospital dek kerana kesihatannya yang merosot selepas dibawa keluar dari sekolah tahfiz di Kota Tinggi itu pada 31 Mac.

Suspek utama kes, seorang pembantu warden lelaki berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan, namun dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah RM20,000.

Jumaat lalu, media melaporkan keluarga Thaqif mempersoalkan tindakan pihak yang berkenaan apabila tiada bedah siasat dilakukan terhadap kaki kanak-kanak itu pada peringkat awal siasatan kematian.

Keluarga turut mendakwa belum menerima sebarang laporan bertulis berhubung prosedur rawatan dan pembedahan sepanjang kanak-kanak tersebut ditempatkan di HSI bermula 19 April lepas. -MalaysiaGazette