Home Ekonomi Tiada polisi baharu dalam pemilikan asing syarikat insurans – BNM

Tiada polisi baharu dalam pemilikan asing syarikat insurans – BNM

KUALA LUMPUR – Pemegang kepentingan asing dalam penanggung insurans tempatan mesti menghormati komitmen masing-masing dalam mengekalkan tahap pegangan saham domestik.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, tidak ada dasar baharu dalam pemilikan asing dalam syarikat insurans dan keperluan itu adalah sebahagian daripada komitmen yang dibuat oleh pemegang saham asing apabila mereka memohon masuk ke pasaran insurans Malaysia.

“Sebagai pengawal selia, BNM mengharapkan pematuhan terhadap perjanjian ini dan akan memainkan peranan pemudah cara untuk memastikan komitmen ini dipenuhi,” kata bank pusat dalam satu kenyataan.

Reuters melaporkan bahawa BNM menghantar surat kepada anak-anak syarikat insurans tiga minggu yang lalu, meminta syarikat induk asing masing-masing mengurangkan kepentingan mereka selaras dengan peraturan untuk penanggung insurans yang diperbadankan di dalam negeri.

Pemilikan asing bagi penanggung insurans Malaysia ditetapkan pada tahun 2009 pada kadar 70 peratus – atau lebih jika pembeli dapat membantu menggabung dan merasionalisasikan industri.

Tetapi beberapa penanggung insurans asing yang beroperasi di negara ini masih boleh dimiliki sepenuhnya oleh syarikat induk asing. – MalaysiaGazette