Julia Bachok melayan suaminya yang juga penyanyi Saleem di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Isteri penyanyi Saleem, Julia Bachok meluahkan rasa marah apabila terdapat pihak yang menyebarkan berita suaminya sudah meninggal dunia di laman sosial sejak pagi tadi.

Julia berkata, beliau juga kesal kerana terpaksa melayan panggilan telefon yang silih berganti hanya semata-mata untuk mengesahkan berita tersebut.

Jelasnya lagi, akibat tidak tahan, dia melepaskan kemarahannya kepada pemanggil tersebut agar sepatutnya mendoakan kesihatan Saleem cepat pulih.

“Panggilan tidak putus-putus asyik tanya betul ke Saleem sudah meninggal dunia. Sampai saya marahkan pemanggil tersebut.

“Sepatutnya doakan kesihatan Saleen cepat sembuh dan Alhamdulillah ada perkembangan positif kerana suhu badan Saleem sudah kembali ke paras normal.

“Namun demamnya kadang-kadang datang tidak menentu. Saleem juga masih belum boleh makan nasi lagi kerana mengalami luka di mulut dan hanya dimasukkan air sahaja,” katanya.

Julia ditemui di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur selepas menerima lawatan Persatuan Wartawan dan Penulis Malaysia (WHAM) yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Turut hadir, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez dan Timbalan Presiden Persatuan Wartawan & Penulis Malaysia melawat penyanyi Saleem di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Julia memberitahu, penyanyi yang popular dengan lagu Suci Dalam Debu itu pada awal dikesan mengalami ketumbuhan di bawah perut.

Jelasnya, ini menyebabkan virus merebak ke bahagian paru-paru dan pada masa sama tekanan darah Saleem juga rendah selain mengidap demam yang tidak menentu.

“Namun sejak semalam Saleem telah dipindahkan ke wad terapi agar pemantauan lebih kerap boleh dilakukan oleh doktor selain dapat berehat secara aman kerana tinggal dalam bilik seorang,” katanya yang mengakui anak-anak Saleem dengan isteri pertama turut hadir melawat bapa mereka sebelum ini. – MalaysiaGazette