PULAU PINANG – Kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa tidak pernah menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Ikrar Bebas Rasuah (IBR) untuk dipatuhi.
Sehubungan itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, adalah mustahil untuk kerajaan negeri membuat keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya dengan IBR tersebut sedangkan tidak pernah menerima surat mengenainya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan serangan terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung isu itu sebagai tidak berasas dan berat sebelah.
“Bolehkah SPRM menulis surat kepada Ketua Menteri yang mewakili Kerajaan negeri Pulau Pinang, atau mereka lebih berminat membuat serangan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang enggan menandatangani IBR sebagai menunjukkan komitmen negeri itu memerangi serta membanteras gejala rasuah.
Menurut beliau, IBR penting untuk memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan mana-mana organisasi termasuk kerajaan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif serta bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.
Dalam pada itu, Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam berkata, kerajaan negeri sebelum ini pernah dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berhubung Ikrar Integriti Korporat.
Bagaimanapun, dakwanya, kunjungan itu tidak berhasil apabila Low berkeras tidak mahu memasukkan syarat `mewajibkan semua pemegang jawatan pentadbiran kerajaan mengisytiharkan aset peribadi mereka secara umum’ dalam ikrar integriti tersebut. – MalaysiaGazette
















