Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Dato Azmir Saifuddin Mutalib (dua kiri) merasmikan Filem Blok 404 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Selepas 16 tahun menunggu, telefilem bercorak Blok 404 yang pernah mencetuskan fenomena dalam format video cakera padat (VCD) sekitar tahun 2003 akan muncul pula di layar perak.

Pasti peminat telefilem itu sudah tidak untuk menontonnya di pawagam sekali gus mengubat kerinduan mereka terhadap filem genre tersebut.

Apa yang menarik, bagi versi filem, Blok 404 masih mengekalkan deretan beberapa orang pelakon asal seperti Zamarul Hisham, Raja Azrey dan Datuk Boy Iman.

Namun sebagai tarikan utama, filem yang diarahkan Isma itu turut membariskan beberapa wajah baru seperti Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Nadia Brian Aedy Ashraf dan Adrea Abdullah.

Tidak ketinggalan Kamal Adli, Ozlynn Waty, Syamsul Yusof, Riz Amin dan Taufik Hanafi.

Menurut Penerbit Eksekutif filem Blok 404, Kamisah Abd Manap atau Kam, usaha menyatukan kembali bintang asal Blok 404 dengan disokong pelakon lain sudah lama difikirkan dan akhirnya menjadi kenyataan.

“Impak cerita ini sangat bagus suatu ketika dulu, jadi kenapa tidak kita kumpulkan semula pelakon yang masih ada. Pihak kita juga berusaha untuk mendapatkan pelakon asal Nabila Huda, namun dia ketika ini terikat dengan kerja lain.

“Alhamdulillah pihak penerbit DBI Entertainment juga berjaya mendapatkan pelakon terkenal untuk memberikan rencah lain dalam filem ini. Penggambaran filem ini juga masih berbaki sehari yang akan diadakan tak lama lagi,” kata Kam.

Dia ditemui pada majlis perlancaran filem Blok 404 di Hotel Concorde Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Barisan pelakon ketika sesi sidang media pada Pelancaran Filem Blok 404 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2017

Menurut Kam lagi, versi filem juga tidak mempunyai kaitan dengan telefilem berkenaan.

“Ia sebuah cerita baharu dan bukan kesinambungan kepada kisah lama

“Sepanjang penggambaran kita juga tidak berdepan kesukaran dan komitmen yang diberikan pelakon juga sangat baik,” katanya.

Dalam pada itu, Boy Iman yang turut bertindak sebagai pelakon dan penerbit filem Blok 404 mengakui agak kecewa kerana ketiadaan Nabila dan sudah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan aktres itu namun rezeki tidak menyebelahi mereka.

“Kami bagaikan satu keluarga dan banyak pengalaman dan memori indah yang dikongsi bersama ketika membintangi Blok 404 versi DVD.

“Apabila timbul idea dengan projek ini sudah tentu saya mahukan semua pelakon asal sama-sama terbabit tetapi nampaknya hasrat itu tidak kesampaian.

“Memang rasa terkilan dan kekurangan sebab tak dapat Nabila namun pasti ada hikmah di sebaliknya,” kata Boy Iman.

Jelas Boy Iman yang juga kini menceburi bidang pemaju hartanah, pihaknya menyasarkan kutipan sekitar RM5 juta apabila Blok 404 ditayangkan kelak.

Jelasnya, keyakinan itu disebabkan jenama Blok 404 yang sudah ada peminat sendiri selain barisan pelakon asal dan baharu.

“Barisan pelakon saya selalu usik boleh kutip RM8 juta. Tapi saya sasarkan RM5 juta pun sudah memadai,” katanya.

Filem Blok 404 dijangka ditayangkan di pawagam tanah air pada hujung tahun ini. – MalaysiaGazette