BANGKOK – Lapan peserta dan dua kenderaan pacuan empat roda yang menyertai Kembara Inspirasi Haji (KIH) 2017 terpaksa berpatah balik sekali gus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan perjalanan ke tanah suci.

Keputusan itu terpaksa dibuat berikutan kekangan kewangan pihak penganjur yang mengharapkan sumbangan orang ramai bagi melengkapkan perjalanan sejauh 16,000km dan memasuki tanah suci sebelum hari wukuf dengan menaiki pesawat.

Mereka yang terbabit dihantar pulang telah dimaklumkan mengenainya dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengarah Projek KIH 2017, Khir Ariffin di pejabat Yayasan Satthachon, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terbabit daalm kerja amal membantu umat Islam Thailand yang miskin dan pelarian Islam di negara ini yang menunggu masa untk ditempatkan ke negara ketiga, petang semalam.

Mesyuarat itu dihadiri semua 16 peserta KIH 2017 dan pengumuman mengenainya memeranjatkan dan menyedihkan mereka.

Pengarah Kembara Inspirasi Haji Khir Ariffin sampaikan sumbangan seperti barang keperluan beras gula garam dan tepung kepada pelarian Syria, Palestin dan Somalia di Bangkok yang menanti masa dihantar ke negara ketiga
Menurut Khir, kurang penajaan mengakibatkan KIH 2017 menghadapi kekangan dana bagi meneruskan kembara bersama empat kenderaan pacuan empat roda.

Konvoi itu tiba di Bangkok pada 4.30 pagi Khamis selepas bermalam di Hatyai.

Justeru, daripada empat kenderaan, kini tinggal dua kenderaan bersama lapan peserta termasuk dua petugas Bernama News Channel (BNC).

“Sejak berlepas, kami dapati tabung dana tidak berganjak jumlahnya dan tiada penajaan baharu. Malah kita sepatutnya berlepas dengan enam kenderaan tetapi penaja menarik diri pada saat akhir,” katanya.

Sehubungan itu, Khir secara terbuka meminta maaf kerana terpaksa membuat keputusan yang pastinya menyedihkan semua peserta kembara.

Sebaik sahaja Khir memaklumkan berita itu, semua yang terbabit telah diberi peluang untuk memberi pandangan mengenai keputusan berkenaan menyebabkan suasana sedih menyelubungi mesyuarat seketika.

Namun, mereka akur dan reda mengenainya kerana semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT dan kemungkinan ada hikmah di sebaliknya.

Khir berharap pertubuhan bukan kerajaan di semua negara yang mereka singgah akan tampil membantu menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Dua kenderaan ini akan melengkapkan perjalanan untuk menunaikan haji di Makkah,” katanya.

“Saya minta maaf, kita bersyukur dan berterima kasih kepada semua, maaf sebab secara realiti masalah kewangan dan kos tambahan membuat kita mengambil keputusan sedemikian. Namun jangan putus asa tapi teruskanlah usaha,” katanya sambil mengesat air mata.

Bagi pasangan suami isteri, Sharin Ahmad, 50 dan Nor’izah Adam, 50, mereka tidak akan berputus asa sebaliknya akan meningkatkan usaha agar dapat pergi ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji suatu hari nanti.

Nor’izah berkata berita itu amat menyedihkan dan beliau berdoa agar peserta lain yang akan meneruskan perjalanan ke tanah suci supaya sentiasa dilindungi Allah SWT dan memperoleh haji yang mabrur.

Ditanya adakah sanak saudara telah dimaklumkan mengenai berita itu, Nor’izah berkata beliau akan memaklumkan kepada mereka menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagi Sharin pula beliau berpesan kepada mereka yang akan meneruskan perjalanan itu agar sentiasa menjaga silaturahim dan perjalanan mereka dipermudahkan.

Aizuddin Ab Razak, 30, pula nekad dan berjanji untuk meneruskan usaha agar dapat menunaikan haji bersama-sama lapan orang kembara itu.

“Pelan kedua saya ialah pulang ke Malaysia dan akan berusaha kerana ini belum selesai dan berjumpa kembali dengan yang lain di Dubai, itu sasaran saya,” katanya yang terkilan kerana ramai sanak saudara telah menghulurkan doa untuk dipanjangkan ketika musim haji.

Peserta KIH 2017 akan menamatkan perjalanan darat di Dubai dan akan menaiki pesawat untuk ke tanah suci beberapa hari sebelum wukuf di Arafah.

KIH 2017 melibatkan 16 peserta dan empat kenderaan pacuan empat roda, memulakan pengembaraan dari Kuala Lumpur merentasi 10 negara sebelum memasuki Makkah untuk menunaikan ibadah haji.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast