TAIPEI – Sebuah majalah Taiwan yang melakukan analisis ke atas perubahan cahaya waktu malam di selatan ASEAN menyimpulkan bahawa sinaran lampu rantau ini tertumpu di Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Pengerang, Johor yang kelihatan ‘gelap-gelita’ dari satelit sebelum ini kini bersinar-sinar disebabkan projek minyak dan gas di situ.
Dengan menganalisis cahaya lampu yang dihasilkan dan dirakamkan satelit milik Amerika Syarikat, majalah itu, Tian Xia juga merumuskan bahawa kawasan yang luas di Indonesia, Borneo dan Sumatera masih mempunyai banyak kawasan yang belum diteroka.
Sinaran lampu di Malaysia tidak lagi tertumpu di Kuala Lumpur, tetapi utara Semenanjung semakin bersinar berbanding enam tahun lalu, dengan Pulau Pinang paling mencuri tumpuan.
Namun begitu, tahap pembangunan Pulau Langkawi di Kedah sejak enam tahun lalu adalah paling mengkagumkan.
Nanyang Siang Pau melaporkan, Kota Bahru di Kelantan juga didapati semakin menyinar jika dibandingkan dengan enam tahun lalu.
Di Sabah, Sarawak pula, Kota Kinabalu yang mengalami pertumbuhan penduduk secara mendadak didapati mengalami pembangunan rancak.
Selain Medan di Sumatera yang semakin bercahaya, tahap sinaran di Indonesia dilaporkan tidak mengalami perubahan ketara.
Di Filipina pula, cahaya negara itu tertumpu di Manila, bahagian tengah Kepulauan Luzon dan Bandar Angeles.
Tahap Perubahan cahaya di Filipina bagaimanapun dilaporkan gagal menandingi Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast