KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan mati dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di Jalan Kovil Hilir, Sentul, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata bayi berkenaan dipercayai telah meninggal dunia dua hari lepas ditinggalkan di tepi jalan berkenaan.
“Mayat bayi itu telah ditemukan oleh seorang tukang cuci wanita sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan.
“Fizikal mayat bayi itu lebam, luka di badan manakala mukanya seperti melecur separuh dan kami percaya bayi berkenaan didera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.
Munusamy berkata mayat bayi berkenaan diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi proses bedah siasat.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes ini iaitu ASP Tan Loon Chuan di talian 019-9993377,” katanya – BERNAMA
















