Siti Saleha bergelar isteri kepada Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017.

KUALA LUMPUR – Aktres Siti Saleha sah bergelar isteri kepada Ahmad Lutfi Azhar pada majlis pernikahan yang diadakan di TPC Bukit Kiara di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa Saleha iaitu Mohd Baharom Abdul Rahman dan disaksikan oleh Imam Masjid Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Mohd Fadlullah Md Noor pada pukul 3.40 petang.

Saleha, 27, menerima mas kahwin sebanyak RM500 daripada Ahmad Lutfi, 31, namun jumlah hantaran dirahsiakan.
Pasangan sama padan itu berbalas hantaran sembilan dan tujuh dulang.

Majlis pasangan itu turut disaksikan oleh 200 tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan terdekat.

Saleha mengikat tali pertunangan dengan Lutfi yang juga seorang pegawai kerajaan pada 26 November lalu selepas melamar aktres itu di Cancun, Mexico.

Saleha adalah adik kepada vokalis kumpulan Bunkface iaitu Sam itu. – MalaysiaGazette