Mohamed Azmin
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar minggu depan, demikian lapor Malaysiakini.

Timbalan Presiden PKR itu mengambil langkah tersebut selepas Khalid tidak mahu memberikan sebarang respon kepada notis tuntutan Azmin supaya mencari dan mengekstradisi ahli perniagaan kontroversial Low Taek Jho atau Jho Low.

Perkara itu diberitahu peguam beliau, Latheefa Koya yang mendakwa anak guamnya tidak akan lagi menunggu sehingga tamat tempoh dua minggu notis tuntutan itu, untuk mengambil tindakan seterusnya.

“Tetapi kerana beliau tidak berminat, kita akan jumpanya di mahkamah,” katanya.

Khalid semalam berkata kepada media bahawa siasatan ke atas 1MDB masih berterusan dan beliau enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu kepada umum.

Pada Rabu, Azmin menghantar satu surat tuntutan rasmi menuntut pihak polis mencari dan mengekstradisi Jho Low yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.

Mengikut surat itu, Low disyaki terlibat dalam jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 406 atau Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001. – MalaysiaGazette