Mahdzir Khalid (lima dari kanan) pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan.

PETALING JAYA – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli diingatkan tidak terus menghasut rakyat supaya membina semula negara sedangkan beliau sendiri adalah hasil daripada sistem pendidikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tanpa biasiswa kerajaan, mana mungkin Rafizi boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Rafizi kata nak bina negara yang telah rosak. Apa yang rosak? Dia pun datang daripada sistem itu (acuan BN dan UMNO).

“Rafizi sendiri datang daripada sistem pendidikan itu untuk keluar negara dan mendapat biasiswa,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan di Kelab Golf Subang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Pandan itu yang kini giat melakukan siri jelajah bina semula negara dengan menjadi lori sebagai platform ceramahnya di seluruh negara.

Mahdzir juga berkata, tindakan Rafizi itu disyaki hanyalah untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Rafizi hanya mahu mengelirukan rakyat dan nak ambil undi untuk pilihan raya akan datang,” katanya lagi.