Pertemuan pimpinan Pas bersama wakil 1MDB hari ini.-pix ihsan Mohd. Khairudin At Takiri.

KUALA LUMPUR – Pas berpuashati dengan pelan rasionalisasi 1MDB tetapi tetap mahu suruhanjaya diraja (RCI)  ditubuhkan menyiasat kemelut yang berlaku.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, pelan rasionalisasi 1MDB memang membantu mengurangkan hutang tetapi perlu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

“Pas mencadangkan suruhanjaya diraja bagi menangani kemelut 1MDB sebelum Arul dibawa masuk dan presiden (Abdul Hadi) paling awal mahu suruhanjaya diraja itu,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sidang perbincangan meja bulat pagi ini yang melibatkan delegasi dari pasukan pengurusan 1MDB yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
“Kita berpuas hati dengan penjelasan yang telah pun dibuat oleh saudara Arul, khususnya pelan rasionalisasi yang dicandangkan oleh beliau bagi mengatasi kemelut yang dihadapi oleh 1MDB.

“Cuma dalam perbincangan tersebut, kita melihat isu yang berlaku hari ini, Kementerian Kewangan telahpun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB.

“Jadi apa yang dalam hasil perbincangan tersebut kita dapati bila aset diserahkan kepada MOF Incorperated, kita perlu monitoring (pengawasan) terhadap isu-isu yang melibatkan aset-aset tersebut sebab bila aset diambil alih oleh kementerian, kita bimbang akan mencetuskan masalah baru kalau tidak dikawal,” ujarnya.

Sebelum itu, Pas dilihat kurang agresif menyerang kerajaan dalam isu 1MDB tetapi ketegasan mahu siasatan menyeluruh terhadap syarikat kontroversi itu tetap tidak berubah.- MalaysiaGazette