Syed Saddiq Abdul Rahman
PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipercayai dalam keadaan ketakutan apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan penglibatan beliau untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jika dakwaan Mahathir itu tidak berasas, kenapa Ahmad Zahid perlu mengambil masa yang lama untuk menafikannya.
“Kenapa ambil masa yang panjang, ini jelas menunjukkan wujudnya syak wasangka. Tun M tidak akan menipu benda-benda macam ini.
“Zahid Hamidi tahu, sebab itu dia pun takut, bila dia respon agak lambat. Jelas menunjukkan bahawa apa yang dikata Tun M itu betul,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam yang mempertahankan timbalannya sambil menyifatkan dakwaan Mahathir itu tidak masuk akal dan fitnah semata-mata.
Najib berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana beliau lebih mengenali dan mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Zahid ketika bergelar Ketua Pemuda UMNO sejak 1986.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq juga mencabar Naib Presiden UMNO itu mendedahkan klip video pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri itu selepas beliau dilantik Timbalan Perdana Menteri pada 3 Ogos 2015.
“Kalau betul ini bukan salah satu fitnah, Datuk Zahid Hamidi sepatutnya tunjukkan kepada rakyat, keluarkan klip video tersebut, biar rakyat sendiri menilai, jangan sunting, saya tahu,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan Najib mempertahankan Ahmad Zahid hanyalah satu sandiwara semata-mata untuk mengaburi semua pihak sedangkan mereka berdua sedang bertelagah.
“Dalam masa sama, wujudnya pertelingkahan antara kem Zahid Hamidi dengan kem Najib,” dakwanya.
Sementara itu, Syed Saddiq turut mempersoalkan kekayaan luar biasa yang dimiliki Ahmad Zahid ketika menggalas jawatan Ketua Pemuda UMNO.
“Bagaimana seorang Ketua Pemuda UMNO, ini bukan 2017 tapi 1999 boleh kumpulkan aset berjumlah RM230 juta, kalau dinilai pada hari ini ia hampir RM1 bilion, tak masuk akal.
“Saya mungkin tak boleh ubah masa silam, apa yang kita boleh buat, bila kita berkuasa perkara ini tidak akan berulang lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.