Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili perdana menteri manakala peguam Gobind Singh Deo bertindak bagi pihak Pua.
Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut meminta pihak-pihak terlibat memberikan salinan Data Urus Tadbir Syarikat 1MDB.
Namun, peguam itu berkata pihaknya tetap dengan pendirian bahawa perdana menteri bukan pengarah dan bukan pemegang saham 1MDB dan dokumen itu perlu diminta atau diberi oleh 1MDB sendiri.
Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pua pada 14 Feb lalu atas alasan beliau bukan penjawat awam seperti didakwa Pua dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya selain mendakwa tuntutan saman itu juga menyalahgunakan proses mahkamah.
Kerajaan pula memohon untuk membatalkan saman itu pada 2 Mac lalu atas alasan Pua tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan tuntutan berkenaan dan saman itu juga suatu yang remeh, menyusahkan serta tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah.
Pada 16 Jan lepas, Pua selaku plaintif menyaman kerajaan dan Najib selaku defendan pertama dan kedua atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan dana 1MDB dan menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
— BERNAMA
















