ekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dilihat tiba di kilang memproses habuk kayu itu pagi ini untuk menyitanya namun gagal sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba beberapa jam kemudian.

PULAU PINANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) memerlukan tempoh antara empat hari hingga seminggu sebelum berjaya menyita kilang haram pembakaran habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Perkara itu berikutan sebanyak 31 buah relau yang digunakan untuk pembakaran di kilang itu masih beroperasi sekali gus memerlukan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadamkannya.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), api relau tersebut perlu dipadamkan sepenuhnya sebelum kilang terbabit dapat disita bagi mengelak kemungkinan ia merebak dan mengundang risiko kebakaran di kawasan lain.

“Ini juga disebabkan tidak ada sesiapa pun dibenarkan memasuki kilang ini selepas disita dan kita bimbang api relau ini boleh merebak disebabkan tidak ada mana-mana pihak yang memantau kilang ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, sekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dilihat tiba di kilang memproses habuk kayu itu pagi ini untuk menyitanya namun gagal sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba beberapa jam kemudian.

Dalam pada itu, Pengarah JAS negeri, Rosnani Abdullah berkata, tindakan penyitaan kilang berkenaan diambil mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Kilang itu diserbu SPRM Khamis lalu selepas mendapat aduan tidak mempunyai lesen dan beroperasi di atas tanah pertanian sejak 10 tahun lalu.

Kilang itu juga didakwa menyebabkan pencemaran udara yang teruk selepas membebaskan asap pembakaran tanpa kawalan sehingga ada penduduk di sekitarnya dikatakan menghidap kanser dan sesak nafas.

Ekoran operasi SPRM itu juga, SPRM menahan reman Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan dua pemiliknya masing-masing berusia 37 dan 70 tahun bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast