PULAU PINANG – Mulai Selasa depan, sebahagian lorong di Jambatan Pulau Pinang akan ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaran berjadual.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi berkata, penutupan itu melibatkan laluan arah timur (pulau ke Seberang Perai) selama enam bulan pertama dan laluan arah barat (Seberang Perai ke pulau) bagi enam bulan berikutnya iaitu sehingga 21 Ogos 2018.

Menurut beliau, kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan secara menyeluruh tersebut merupakan kerja berjadual yang perlu dilaksanakan bagi memastikan struktur kabel Jambatan Pulau Pinang berada pada tahap terbaik untuk keselamatan orang ramai.

“Kabel merupakan elemen utama di Jambatan Pulau Pinang dan perlu diperiksa secara menyeluruh dalam jangka masa tertentu mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu setiap empat tahun untuk mengesan sebarang kerosakan.

“Sehubungan itu, bagi membolehkan kerja-kerja yang komprehensif tersebut dijalankan, penutupan lorong dan lencongan jalan terpaksa dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut.

Sebagai alternatif, kata beliau, pengguna boleh menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau perkhidmatan feri bagi perjalanan yang lebih selesa sepanjang tempoh tersebut.- MalaysiaGazette