Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPK), Tan Sri Noh Omar (dua kanan) berbual sesuatu bersama pemilik rumah semasa melawat rumah PPR Subang Lembah II pada Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang II di Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 OGOS 2017

SUBANG – Tan Sri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu perumahan rakyat di negeri tersebut memandangkan tindakannya yang selalu menyalahkan kerajaan pusat dalam setiap permasalahan yang melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, cabaran debat itu bertujuan mencari jalan penyelesaian isu rumah rakyat di Selangor dan bukan hanya dengan berpolitik semata-mata kerana ramai yang memerlukan rumah di negeri tersebut.

“Jadi, saya nak cabar MB Selangor untuk berdebat, debat atau mengadakan forum mengenai masalah perumahan rakyat negeri Selangor.

“Duduk sama-sama cari pihak yang berkecuali untuk menganjurkan forum atau debat yang mana kita bincang bagaimana cara nak beri pembelaan masalah perumahan rakyat.

“Yang memerlukan rumah bukan sahaja UMNO, tetapi PKR, Pas dan lain-lain parti juga nak. Semua rakyat tanpa fahaman politik mememerlukan rumah.. sebab itu dalam membantu rakyat, kita kena ketepikan fahaman politik,” kata beliau semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPR Lembah Subang 2 hari ini.

Noh dalam masa yang sama turut menempelak Azmin sebagai tidak memahami isu berhubung rumah PPR apabila membuat desakan supaya kerajaan pusat menjual rumah PPR yang disewakan kepada rakyat.

“Kenyataan oleh MB Selangor adalah mengelirukan rakyat. MB Selangor dalam kenyataan di Selangor TV baru-baru ini ada mengatakan dia desak KPKT supaya jual rumah PPR kepada rakyat. Ini menunjukkan MB sekali lagi tidak paham masalah rumah PPR.

“Lembah Subang 1 memang kita sewa tetapi sewa itu bukan kita ambil tetapi kerajaan negeri ambil, dia ungkit kalau daripada mula bagi sewa sehiggga sekarang patut rumah itu dah boleh bagi free kepada rakyat Lembah Subang 1.

“Saya nak tanya Azmin mengapa dia tidak mengumumkan sebelum ini sebaliknya sewa RM124 dinaikkan kepada RM250? Bukankah Itu menekan lagi rakyat,” katanya lagi.

Noh juga menafikan cuba mempolitikkan isu berhubung perumahan rakyat, sebaliknya hanya membantu rakyat yang nasib mereka terbela oleh kerajaan negeri.

“Jangan tuduh saya berpolitik, berbalik-balik tuduh saya berpolitik… saya berpolitik apa? Salahkah macam hari ini saya turun padang beri pembelaan kepada rakyat Selangor.

“Bila saya turun mereka kata saya kacau,” ujarnya lagi.

Noh kemudiannya menggesa supaya Mohamed Azmin berhenti daripada mengeluarkan kenyataan untuk mengelirukan rakyat dan mengulangi cabaran untuk berdebat dengan beliau.

“Jangan mengelirukan rakyat. Saya sedia berdepan dengan beliau. Forum atau debat pun boleh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette