MEKAH – Para pegawai kesihatan Arab Saudi yang menguruskan jemaah haji bersedia menangani wabak penyakit atau insiden rempuhan seperti yang berlaku dua tahun lalu, mengakibatkan beratus-ratus orang terbunuh.

Arab Saudi berkata, seramai 1.735 juta jemaah haji luar negara telah tiba di negara tersebut bagi menunaikan ibadah sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan.

Sebelum ini, perhimpunan terbesar umat Islam itu menyaksikan beberapa insiden rempuhan maut serta rusuhan, dengan pihak berkuasa mempunyai keupayaan terhad untuk mengawal jemaah.

Iran mempersoalkan cara Arab Saudi mengendalikan insiden rempuhan pada 2015.

Insiden tersebut menyebabkan 800 jemaah terkorban, menurut Riyadh walaupun perangkaan negara-negara lain menunjukkan lebih 2,000 orang terbunuh, lebih 400 orang adalah warga Iran.

Hussein Ghanam yang bertanggungjawab terhadap kementerian kesihatan untuk operasi haji berkata, pihak berkuasa bersedia jika berhadapan dengan insiden rempuhan.

“Terdapat angkatan ambulans bersepadu, yang mana setiap satu dilengkapi dengan unit penjagaan intensif. Ambulans ini berada di atas jalan, antara khemah-khemah,” katanya.

Terdapat kira-kira 30,000 pekerja kesihatan dan 5,000 katil hospital disediakan.

Pertubuhan Bulan Sabit Arab Saudi menyediakan 350 buah ambulans dan empat buah helikopter perubatan, kata Pengarahnya, Mohammed bin Abdullah al-Qassim. Ia telah membuka beberapa pusat kesihatan baharu pada tahun ini dan menjalankan simulasi terhadap respon kecemasan.

“Kami mempunyai lebihan bekalan serta peralatan khas dan kenderaan untuk menguruskan bencana secara langsung dan memindahkan mereka ke hospital berhampiran,” kata Qassim kepada Reuters.

Hampir 90,000 warga Iran dijangka menunaikan ibadah haji untuk pertama kali sejak insiden rempuhan pada 2015.

Satu lagi kekhuatiran yang timbul ialah potensi wabak penyakit dalam kalangan jemaah haji yang menghabiskan masa selama lima hari dengan makan dan tidur di atas tanah.

Ghanam berkata, kementerian itu sedia mengawal penyakit berjangkit seperti Virus Korona Sistem Pernafasan Asia Barat (MERS) yang sering berlaku di Arab Saudi sejak lima tahun lalu.

“Sebelum ini kami berjaya menguruskan wabak berjangkit, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung,” katanya sambil menambah kempen kesedaran dan keperluan kesihatan untuk jemaah haji menghindarkan wabak itu sampai ke kawasan Mekah.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, terdapat 26 kes MERS baharu dilaporkan di Arab Saudi pada Julai dan awal Ogos ini, membabitkan enam kematian.

Selain itu, lebih setengah juta orang di negara jiran, Yemen dijangkiti taun dan 1,975 orang mati sejak ia mula merebak di negara tersebut pada April, menurut WHO.

Ghanam berkata, hospital diarah supaya memberi tumpuan khusus kepada jemaah haji yang menunjukkan simptom penyakit taun.

Yemen juga telah melakukan pemeriksaan kesihatan yang sama kepada jemaahnya, tambah beliau. – Reuters