Kaka Azraff

KUALA LUMPUR – Selepas muncul dengan Terima Kasih yang menjadi siulan peminat pada tahun lalu, penyanyi Kaka Azraff meneruskan kecintaan seni dengan single terbaharu, Kembali yang merupakan karya sepenuhnya oleh The Good Fellas dengan sentuhan magis, Alif Abdullah sebagai produser.

Dan tiada lain, wanita berusia 28 tahun itu mensasarkan ekspektasi tinggi terhadap Kembali agar terus memekarkan popularitinya dalam lapangan hiburan apatah lagi usai satu demi satu single yang dipersembahkan pantas menjadi halwa telinga para pengikutnya.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, Kembali merupakan sebuah lagu yang cukup sinonim dengan jiwanya.

Tidak hanya itu, single ini boleh diterjemahkan sebagai 100 peratus berkait ruang lingkup kehidupan personal dan karier seninya.

“Lagu ini berkisar erti kebebasan di mana seseorang yang mempunyai perasaan kurang keyakinan diri memperoleh keberhasilan apabila keluar dari kepompong kesulitan hidup setelah mendapat petunjuk.

“Kelainan single ini jika dibandingkan dengan lagu-lagu terdahulu adalah disebabkan liriknya yang matang. Tidak hanya itu, saya turut menekankan aspek vokal secara total. Begitupun, kalau didengari semula, Kembali kedengaran lebih bersahaja daripada aspek melodinya,” kata Kaka yang cukup ternantikan pelancaran Kembali dalam waktu terdekat ini.

Menyambung bicara, pelontar lagu hit, Bukan Hal Aku ini memberitahu, Kembali menjalani pembikinan dan proses di belakang tabir selama dua bulan sebelum ia menjadi sebuah karya yang lengkap.

“Sejujurnya, komposer lagu ini merupakan seorang individu yang kreatif dan memiliki citarasa tinggi dalam setiap naskhah dihasilkan olehnya. Lebih menarik, dia sanggup bereksperimen sehingga mengeluarkan aneka versi demo Kembali sebelum saya membuat keputusan untuk memilih yang terbaik.

“Harapan saya agar single ini bakal meraih tumpuan peminat sekali gus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seni saya bersama komposer ini. Tidak ketinggalan, saya sentiasa berambisi tinggi untuk terus menghadirkan lagu-lagu berkonsep unik bagi lebih mewarnai kanvas bidang hiburan tempatan.

“Dan lebih signifikan, saya berharap agar Kembali mampu memberi magis sinar kepada semua yang mendengar dan mendalaminya,” akhiri Kaka yang merupakan wajah Selebriti Sokongan Riben Merah seliaan Majlis AIDS Malaysia.

Para peminat kini boleh mengundi lagu Kembali di http://era.fm/carta/era-fm/lagu-baru-nak-up yang bermula sejak tiga minggu lalu.

Video muzik Kembali akan menjalani penggambaran pada 10 September ini yang digarap oleh Mohd. Khairul Azri Md. Noor atau lebih dikenali sebagai Keroll.

Kembali merupakan satu lagi edaran daripada Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kolaborasi Uprising Entertainment Sdn. Bhd. selaku pihak pengurusan Kaka.

Kaka bakal mengeluarkan album penuh dengan dua buah lagu baharu termasuk Kembali, Terima Kasih dan Bukan Hal Aku dijadualkan pada hujung tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast