Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar supaya mengadakan Kongres Khas bagi membincangkan hubungan parti itu dengan Pas.

Reaksi muram Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Serta Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 02 JUN 2017

Cabaran itu dilontar oleh Gerakan Aktivis Harapan (GAH) yang terdiri daripada ahli parti pembangkang kerana meragui keikhlasan Mohamed Azmin walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan tidak akan berunding lagi dengan Pas.

“Azmin akan diasak untuk menghentikan rundingan dengan Pas oleh anggota PKR sendiri yang menuntut agar EGM diadakan secepat mungkin.

“Jika EGM diadakan, Azmin tidak akan dapat meyakinkan PKR tentang keperluan untuk berunding dengan Pas, terutama selepas pemimpin parti Islam itu menafikan mereka sedang berbincang mengenai persiapan pilihan raya.

“Kredibiliti dan populariti beliau akan terjejas teruk jika Kongres Khas atau EGM tidak menyokongnya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, cadangan kongres itu diadakan dilontar oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli susulan tidak berpuas hati dengan Mohamed Azmin yang berunding secara senyap-senyap dengan Pas.

Kumpulan itu juga menyokong cadangan Rafizi.

Tegas kumpulan itu lagi, Mohamed Azmin juga perlu patuh kepada keputusan Majlis Presiden PH yang menghentikan sebarang rundingan dengan Pas. – MalaysiaGazette