BATU PAHAT – Pasangan suami isteri warga emas maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 5 Jalan Bukit Pasir di sini kira-kira pada 7.15 pagi ini.
Mangsa, Wahadi Jamos, 62, dan isterinya, Rokiah Jangi, 65, maut ditempat kejadian selepas motosikal mereka berlanggar dengan sebuah kereta Viva dinaiki seorang lelaki dan wanita.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, semasa kejadian, mangsa yang berasal dari Sri Medan di sini dalam perjalanan dari Tongkang Pecah menghala ke Batu Pahat.
“Semasa sampai ditempat kejadian pemandu kereta dari arah bertentangan memasuki laluan kanan jalan dan akibat tindakan itu berlaku pelanggaran antara motosikal mangsa dan kereta itu,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala penumpang kereta tidak sedar diri dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, saksi di tempat kejadian mendakwa melihat pemandu kereta memandu dalam keadaan laju dan tidak menentu ke kiri dan ke kanan, dipercayai pemandu dipengaruhi dadah. – MalaysiaGazette