Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos
KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN) digesa melupakan soal kuota kerusi masing-masing dan mengutamakan kemenangan parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, komponen BN perlu memberi laluan kepada parti lain sekiranya berpotensi meraih kemenangan di sesuatu kawasan.

“Bincanglah baik-baik, kita lupakan soal kuota, jadikan keutamaan siapakah yang boleh menang. Jangan fikir hak kuota masing-masing, oleh kerana berebut kuota, akhirnya kawasan itu menjadi kalah.

“Kekalahan itu bukan sahaja merugikan parti yang bertanding, malah ia akan merugikan parti komponen keseluruhannya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Jamal berkata, BN tidak boleh lagi menggunapakai kaedah pembahagian kerusi itu mengikut parti komponen seperti mana diamalkan sejak dahulu lagi terutamanya PRU-12 dan PRU-13 yang merugikan parti.

“Jadikan PRU-14 ini supaya lebih terbuka, kita bagi laluan kepada mereka dan saya berharap setiap kawasan Parlimen, DUN atau pun bahagian, memberikan fokus untuk pilihan raya dan bukannya pemilihan parti.

“Kalau kita buat persediaan untuk pemilihan dalam parti, tapi PRU-14 yang kita akan hadapi terlebih dahulu daripada parti, kita kalah, kita tiada kerajaan, tiada maknanya kita memegang jawatan dalam parti,” katanya.

Katanya lagi, parti komponen BN perlu berhati terbuka sekiranya kuota mereka diambil alih oleh parti lain dan perlu fokus kepada mengekalkan kerajaan sedia ada.

“Komponen BN lain pun perlu redha kali ini, kalau mereka tiada tempat bertanding pun, tapi tiada masalah.

“Kalau kita ada kerajaan seperti sekarang, sudah pasti jawatan-jawatan tertentu kita boleh agih-agihkan kepada mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette