Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu ke atas Wira Doni Riduan, 33, selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan itu setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Selepas mengambil kira hujahan pihak pendakwaan, pembelaan dan mitigasi tertuduh, mahkamah dengan ini mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan sembilan sebatan,” katanya yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 4 April lepas.
Sebaik hukuman dijatuhkan, Wira Doni yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan sedih sambil menoleh ke arah bapanya yang berada di tempat duduk awam.
Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil pada perbicaraan kes itu yang bermula 20 Julai lepas.
Penganggur itu didapati bersalah melakukan rompak menggunakan parang terhadap Sim Hock Beng, 39, dengan memaksanya menyerahkan wang tunai RM1,000 dan sebuah telefon bimbit di sebuah pusat siber, di Pelangi Damansara, dekat sini, pada 1 pagi, 4 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai seorang anak berusia sembilan tahun dan menjaga ibunya yang sedang sakit serta memohon supaya tidak dikenakan hukuman sebat
Timbalan Pendakwa Raya V. Suloshani memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana menggunakan senjata parang.
“Saya pohon hukuman yang setimpal ini supaya dapat memberi pengajaran kepada masyarakat kerana kes-kes sebegini semakin berleluasa,” katanya.
— BERNAMA