KUALA LUMPUR – Para penggiat industri landskap di negara ini disarankan supaya memupuk bakat-bakat baharu dalam industri landskap.
Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, usaha itu penting bagi mencapai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara taman terindah menjelang tahun 2020.
“Saya difahamkan, melalui perangkaan Jabatan Statistik Malaysia pada tahu 2016 bahawa industri landskap menyumbang antara 20-30 peratus daripada pendapatan pekerjaan asing sektor binaan tahun 2010.
“Alangkah baiknya sekiranya kita sendiri membangunkan sumber manusia dan modal insan dalam negara kita sendiri khususnya dalam sektor landskap.
“Kita mesti melihat contoh terbaik yang telah diamalkan di negara-negara maju yang mana mereka membangunkan sumber manusia dan mempromosikan pembangunan inovatif melalui percambahan idea baharu kalangan generasi muda selari dengan manifestasi TN50 yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Teks beliau sempena perasmian Persidangan dan Ekspo Landskap Asia 2017 anjuran EG Group Holdings di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Esa Ahmad.
Noh dalam teks ucapan yang sama percaya anak-anak muda hari ini mempunyai kepakaran setimpal di negara maju yang mempunyai idea menghasilkan produk landskap menarik.
“Mereka yang terlibat dalam industri landskap seperti arkitek landskap, hortikultur dan profesion berkaitan atau sesiapa sahaja yang meminati bidang ini supaya turut menyokong profesion sedia ada arkitek, jurutera, perancanag bandar dan penggiat seni bina.
“Penggiat seni juga diperlukan untuk membantu negara membangunkan industri yang berdaya maju ini dengan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi.
Ekspo Landskap yang julung kali yang dianjurkan itu bermula hari ini sehingga 16 September ini merupakan pameran terbesar di Asia.
Pameran Perdagangan berkelas dunia ini mengetengahkan konsep creme de la creme dalam industri landskap khususnya dalam kepakaran pembinaan taman dan rekreasi, seni bina landskap, binaan dan reka bentuk, peralatan, mesin, teknologi dan bekalan landskap.
Malah katanya, matlamat utama kempen Live Green Box bersama Ekspo berkenaan ialah sebuah kempen tanggungjawab sosial korporat yang diterajui penganjur sebagai memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda menanam, melindungi dan memelihara (3M) warisan sumber alam yang serba hijau yang dimiliki di negara ini.- MalaysiaGazette