Salah satu daripada tiga sekolah di Utara Semenanjung yang ditutup esok akibat banjir di Kedah dan Perlis. Foto Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR – Tiga buah sekolah di utara Semenanjung iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Perlis dan SK Seri Banai serta SK Bukit Hijau di Kedah akan ditutup esok akibat banjir yang melanda di kawasan-kawasan tersebut.

Keputusan penutupan sementara sekolah-sekolah terbabit telah dibuat oleh Pengarah Jabatan Pendidikan kedua-dua negeri itu, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis membuat keputusan itu berikutan keadaan fizikal bilik darjah dan kawasan persekitaran SRK Seri Indera masih tidak selamat digunakan akibat dinaiki air.

“Cuti Berganti Khas ini hanya melibatkan 787 murid sahaja manakala guru serta kakitangan sekolah akan bertugas seperti biasa,” kata pengarahnya Izmi Ismail.

Di Kedah, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri itu, Datuk Azuyah Hassan mengarahkan SK Seri Banai ditutup setelah seluruh kawasan sekolah itu ditenggelami air dan bekalan elektrik telah terputus.

Malah katanya, penutupan sekolah berkenaan menjejaskan sesi persekolahan 314 murid dan 35 guru serta kakitangan sekolah tersebut.

“Sementara itu, SK Bukit Hijau, Kedah turut diarah ditutup setelah laluan ke sekolah itu terputus dan boleh membahayakan 198 murid di sekolah itu,” katanya.

Di samping itu sekolah tersebut telah dijadikan tempat pusat penempatan sementara utuk penduduk sekitar yang terjejas banjir.

Berikutan keadaan banjir yang telah melanda di kedua-dua negeri tersebut, pihak kementerian merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat membantu mengendalikan sekolah-sekolah yang terlibat. – MalaysiaGazette