Atanasio M'tumuke

MAPUTO – Kerajaan Mozambique pada Rabu menafikan tuduhan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kononnya negara itu membeli peralatan ketenteraan serta senjata dari sebuah syarikat perdagangan di Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan PBB dilaporkan berkata, sebuah syarikat pelaburan di bawah Kementerian Pertahanan Mozambique membayar sejumlah US$6 juta untuk mendapatkan bekalan senjata dari Korea Utara, sekaligus melanggar peraturan sekatan senjata PBB.

Menteri Pertahanan Atanasio M’tumuke dalam reaksi balasnya berkata, kerajaan Mozambique tidak takut dengan tuduhan itu kerana negaranya tidak pernah membeli senjata dari Korea Utara.

“Tuduhan itu tidak benar, Mozambique tidak pernah membeli senjata dari Korea Utara, kami harap PBB akan melakukan siasatan dan selepas itu membuat permohonan maaf,” kata M’tumuke pada penutup Kongres Parti Frelimo Ke-11 di Maputo.

Tuduhan itu, turut dinafikan Menteri Luar Negeri dan Kerjasama, Oldemiro Baloi namun mengakui Mozambique telah bekerjasama dengan Korea Utara sejak sekian lama.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast