Sebahagian artis yang akan terlibat dalam Konsert Dangdut Megastar 2017 pada 14 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dangdut, Ifa Raziah bercadangan melepaskan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia atau Bintang pada tahun depan.

Ifa, 43, berkata, sebaik tamat sepenggal memegang jawatan tersebut, peluang harus diberikan kepada artis dangdut lain untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Jadi presiden bukan hanya duduk diam seronok-seronok dan pose cantik. Kena buat kerja. Muka kena tebal jumpa orang sana sini hantar kertas kerja.

“Saya sudah merasa tanggungjawab sebagai presiden itu. Jadi penggal akan datang, bagilah peluang kepada ahli yang lain pula,” katanya berterus-terang.

Ifa ditemui pada sidang media Konsert Dangdut Megastar 2017 yang diadakan di Biro Pelancongan Kuala Kumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini semalam.

Sementara itu, Ifa menyifatkan konsert yang bakal berlangsung pada 14 Oktober ini di Panggung Anniversari itu satu penghormatan kepada artis-artis dangdut negara ini.

Jelasnya, selama ini, irama dangdut itu dianggap kelas ketiga dan tiada standard.

“Jadi apabila ditawarkan membuat konsert ini, ia merupakan satu pencapaian yang belum dibuat sejak irama dangdut bertapak di negara ini.

“Konsert berkenaan adalah usaha dan kerja kerasnya bersama ahli persatuan yang dilakukan selepas lebih setahun menerajui persatuan itu.

 “Alhamdulillah, selepas beberapa kali surat dan kerja keras kami memperjuangkan nasib artis dangdut akhirnya dipandang juga,” ujarnya.

Selain Ifa, Konsert Dangdut Megastar 2017 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  yang diadakan secara percuma itu bakal menampilkan penyanyi popular seperti Amelina, Salwa Abdul Rahman, Roger Kajol, Fitri Hiswady dan Elda Susanti. – MalaysiaGazette